Menghadapi Kenakalan Anak Berumur Dua Tahun
Posted by Azrul in Nasihat
Masa umur dua tahun adalah masa yang sangat aktif bagi anak-anak, kerana pada usia ini pertumbuhan fizikal dan perkembangan mentalnya sedang meningkat. Fenomena ini pasti dihadapi oleh setiap ibu bapa yang memiliki anak yang normal. Pada usia ini sangatlah tidak wajar bagi ibu bapa menggunakan kata-kata yang kasar dan keras apatah lagi memukulnya. Mereka dalam usia ini sangat sensitif baik perasaan mahupun jasmani mereka.
Rasulullah SAW sangat menyayangi cucu-cucu baginda Hasan dan Husain. Bahkan ketika baginda sedang menjadi imam yang diikuti oleh jemaah Islam, kedua cucu baginda tersebut memanjat tengkuk baginda menyebabkan baginda melamakan waktu sujudnya demi menjaga kedudukan cucunya tersebut. Setelah selesai solat para sahabat bertanya tentang terlalu lamanya baginda sujud, apakah baginda menerima wahyu ketika itu. Rasulullah pun menjelaskan tentang peristiwa yang terjadi.
Pengajaran yang diberikan oleh Rasulullah ini menunjukkan bahawa pada usia kanak-kanak ini, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anaknya dengan kasih sayang dan kelembutan. Kalaupun ingin mencegah kesilapan yang mereka lakukan maka cegahlah dengan kelembutan dan kasih sayang pula. Dalam masalah menjalankan perintah agama terhadap anak-anak ini Rasulullah menyatakan dengan tegas. Baginda menyuruh agar umat Islam menyuruh anak-anak yang berumur tujuh tahun mengerjakan solat, namun jika umur 10 tahun tidak mengerjakan solat makan pukullah mereka.
Ertinya keizinan memukul anak dalam pendidikan Rasulullah adalah ketika anak berumur 10 tahun, itupun jika mereka melanggar perintah Allah iaitu meninggal solat. Namun begitu pukulan yang dimaksudkan baginda bukanlah memukul dengan kemarahan tetapi memukul dengan unsur mendidik dan kasih sayang.
Adalah lebih baik ibu bapa menunjukkan akhlak yang mulia di depan anak-anak agar mereka dapat meniru keperibadian yang mulia tersebut. Setelah itu banyakanlah berdoa agar mereka mempunyai hati yang lemah lembut, budi pekerti yang mulai serta menjadi anak yang soleh.